Sabtu, 01 November 2014
Kadang-kadang istilah bahasa baku itu disalah cetak menjadi bahasa buku. Jika dibandingkan dengan bahasa beku, bahasa buku masih positif lagi maknanya. Kebetulan pula memang ada pertalian maksud antara bahasa baku dengan bahasa buku. Hal ini demikian kerana bentuk bahasa yang biasanya digunakan dalam buku ialah bahasa baku. Maka timbullah istilah bahasa buku yang berlainan daripada bahasa percakapan atau bahasa perbualan.
Jadi, apakah sebenarnya bahasa baku? Lebih dulu baiklah kita fahami makna kata baku itu. Kata ini sebenarnya berasal daripada bahasa Jawa. Menurut kamus, maknanya ialah “yang menjadi pokok, yang sebenarnya”; “yang digunakan sebagai ukuran”. Jadi, bahasa baku dapatlah dikatakan bentuk bahasa yang benar. Di samping itu, bahasa baku digunakan juga sebagai ukuran dalam hal penggunaan bahasa. Marilah kita dalami kedua dua pengertian itu.
Maksud bahasa yang benar ialah bahasa yang digunakan dengan berdasarkan aturan-aturan yang berlaku dalam sesuatu bahasa itu. Sebagai contoh, kata kerja dalam bahasa Inggeris digunakan dengan berdasar pada sistem kala atau waktu (tense). Ada tiga kala yang utama, iaitu kala kini, kala lampau, dan kala hadapan. Apabila ada orang yang menggunakan bahasa lnggeris dengan tidak mengendahkan aturan itu, ia dianggap tidak menggunakan bahasa lnggeris yang benar. Tentu anda sering diingatkan oleh guru Bahasa lnggeris anda tentang aturan seumpama itu. Kalau ada orang yang berani melanggar aturan itu, ia tentu tidak diterima sebagai pengguna bahasa lnggeris yang baik. Malah, ia mungkin saja dianggap orang yang tidak berpendidikan. Demikianlah tegasnya sikap kebanyakan orang dalam hal penggunaan bahasa lnggeris.
Dalam bahasa kita, ada juga aturan-aturan yang perlu kita patuhi jika kita ingin menggunakan bahasa yang benar dan jika kita ingin diakui sebagai orang yang berpendidikan.Aturan-aturan itu bukan ciptaan ahliahli bahasa sebagaimana yang disangka oleh setengah-setengah orang. Bukankah ahli bahasa sendiri merupakan pengguna bahasa juga? Sebenarnya, aturan bahasa terbit daripada penggunaan bentuk-bentuk bahasa yang mantap dalam kalangan masyarakat. Bagaimana masyarakat dapat menim bulkan satu sistem bahasa yang memungkinkan mereka saling memahami adalah soal yang sukar dijelaskan dengan pasti. Tetapi, jika kita percaya bahawa manusia dikurniai akal oleh Tuhan, maka akal itulah yang dimanfaatkan oleh manusia untuk menimbulkan bentuk bahasa yang tertentu.
Bahasa kita telah melalui jalan sejarah yang amat panjang, iaitu dari awal abad Masihi lagi. Sejak abad ke-12 Masihi, bahasa kita mula mencapai tahap yang mantap. Kitab-kitab dalam segala bidang, seperti sastera, undang-undang, falsafah, agama, dan ketatanegaraan telah dihasilkan dengan menggunakan bahasa Melayu yang tinggi darjah keseragamannya di seluruh Alam Melayu. Bahasa yang digunakan dari zaman itu hingga abad ke-19 dikenal sebagai bahasa Melayu klasik. Bahasa Melayu klasik itu berlandaskan aturan tertentu, baik dalam hal pembentukan kata mahupun ayat.
Perkembangan bahasa Melayu klasik sehingga menjadi bahasa Melayu moden sekarang ini berlaku secara beransur-ansur. Aturan-aturan yang terdapat dalam bahasa Melayu klasik itu tetap menjadi asas bahasa Melayu moden. Yang berubah ialah gaya bahasa atau cara mengungkapkan sesuatu.Sebagai contoh, kalau dalam bahasa Melayu klasik ayat pasif lebih banyak digunakan, maka dalam bahasa Melayu moden tidak terlalu menonjol penggunaan ayat pasif jika dibandingkan dengan ayat aktif. Kedua-duanya digunakan dengan kadar yang agak sama banyaknya. Malah,kecenderungan orang menggunakan ayat aktif sekarang lebih banyak pula.
(Kutipan makalah ini dipetik daripada buku Tuntunan Bahasa tulisan Dr. Awang Sariyan)
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar